"Kita tidak akan mengambil sebarang tindakan disiplin ke atas Daudsu atas kesilapan menjaringkan gol sendiri pada perlawanan itu yang menyebabkan Kelantan gagal membawa pulang piala berprestij," kata Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa kepada pemberita hari ini.
"Malah, kita akan terus memberi semangat dan motivasi kerana kita mempunyai misi lebih besar untuk menempah tempat dalam Liga Super dan Piala Malaysia musim ini," katanya.
Annuar, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, beliau tahu ramai peminat dan penyokong Kelantan kecewa dan marah terhadap kesilapan pemain Kelantan itu, dan sebagai Presiden Kafa, beliau sendiri lebih lagi merasai bahang itu.
Katanya, Daudsu akan tetap diturunkan sebagai kesebelasan utama pada perlawanan Liga Super yang akan bertemu Perak di Stadium Mohammed Ke-IV malam ini.
"Kita juga tidak akan tukar posisinya di barisan pertahanan Red Warriors... kita kena ingat dalam insiden itu, ada dua lagi penyerang Terengganu di belakangnya yang mungkin akan menjaringkan gol biarpun Daudsu tidak melakukan kesilapan itu...," katanya.
Sementara itu, Annuar berkata, KAFA akan memberi tawaran menonton secara percuma perlawanan persahabatan Kelantan dengan pasukan bola sepak sama ada dari Indonesia atau Thailand yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV pada 2 Julai.
"...tetapi dengan syarat peminat perlu membeli dua tiket bagi menonton perlawanan antara Kelantan dan Perak malam ini dan juga perlawanan persahabatan antara Malaysia dengan Myanmar pada 18 Jun ini dan mereka perlu menyimpan keratan tiket yang dibeli daripada kedua-dua perlawanan itu," katanya.
Katanya, langkah mengadakan perlawanan persahabatan itu sebagai persediaan menyuntik semangat pemain selain ke arah melamar pemain pasukan terbabit menyertai Kelantan pada musim akan datang. - BERNAMA
Sumber : Bharian
0 comments:
Post a Comment
Terima Kasih sebab komen, tapi komen ancaman, ugutan, hasutan akan didelete ya :).jom like fanpage facebook AF :) FB AbdulFarique.com