Generasi hari ini rata-rata tidak mengetahui akan sejarah tamadun bangsa Melayu yang tinggi. Sebenarnya, bangsa Melayu merangkumi bukan sahaja Melayu Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Selatan Thailand, tetapi juga Melayu Campa di Vietnam dan Kemboja, serta orang-orang Funan di Kemboja, Melayu Filipina, Madagaskar, Taiwan dan pribumi di Papua New Guinea dan pulau-pulau di Asia-Pasifik.
Perkataan “Melayu” sebenarnya berasal dari bahasa Sanskrit, Malaya atau Malai, yang
bermaksud “Gunung”; dan “Gunung” itu pula ialah perkataan Melayu moden untuk perkataan
purbanya “Pnom”. Marko Polo (pengembara Itali 1254-1323) merujuk bangsa atau bahasa Melayu sebagai Malaiur.
Catatan pegawai Portugis di Melaka, de Eradia seorang ahli matematik keturunan Melayu pada sekitar 1600, merujuk bahasa di Melaka sebagai Malaio; manakala catatan China sejak abad ke-6 lagi menyebutnya sebagai Mo-lo-yu, Molo-yoou dan Mo-lo-yeu.
Satu daripada tinggalan ilmu Melayu Funan (pada batu bersurat bertarikh 531 Syaka, tahun Melayu Purba yang bermula pada tahun 78M (609M) yang terkenal ialah sistem angka perpuluhan yang ada simbol sifar (yang sama sistemnya seperti angka sekarang).
Sebelum abad ke-8M lagi Melayu Campa ada mencatatkan di prasastinya tentang kemahiran mereka dalam pelbagai bidang ilmu dengan mengelaskan ilmu-ilmu yang ada pada mereka itu kepada enam bidang ilmu termasuklah bidang sainsnya yang diistilahkannya sebagai horasastera (iaitu astronomi, astrologi, kosmologi dan yang berhubung dengannya seperti matematik dan fizik).
Unit-unit sukatan asasi ciptaan orang-orang Melayu Campa dahulu juga cukup komprehensif, bersistem dan piawai, iaitu unit panjang atau jarak, dinamai li dan chang (kira-kira 10 kaki, unit Inggeris-Melayu yang berasal dari istilah Inggeris(fe e t ) berasaskan panjang kaki seorang raja England abad ke-16.